Guru besar adalah orang yang paling penting di setiap sekolah. Oleh itu seorang guru besar hendaklah sentiasa memastikan sekolah yang ditadbirnya selalu dalam keadaan baik.Maksudnya baik dari segi disiplin pelajarnya, juga baik dari segi akademik pelajarnya dan yang tidak kurang pentingnya ialah setiap guru dan kakitangan sekolah menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan sempurna.

Selain itu guru besar yang baik juga tidak akan semata-mata berkurung di dalam bilik menghadap dinding atau komputer di atas meja. Guru besar yang baik sekali-sekala atau mengikut jadual yang telah ditetapkannya akan meninjau atau melihat keadaan sekolah. Melihat sendiri pelajar-pelajar dan guru-guru dalam melaksanakan kewajipan mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Satu cerita mengenai seorang guru besar di sebuah sekolah. Satu hari beliau meninjau keadaan sekolahnya. Beliau mendapati sebuah kelas tidak ada guru yang mengajar sedangkan waktu tersebut sepatutnya ada guru yang mengajar. Beliau pun masuk kelas tersebut, lalu bertanya “Mana guru mata pelajaran kamu? Kenapa belum masuk mengajar? ” “Guru kami memang selalu akhir masuk kelas cikgu” Jawab ketua darjah kelas tersebut. Guru Besar bertanya lagi, Pagi tadi berapa ramai yang sembahyang Subuh berjemaah? Cuba angkat tangan! Cuma dua atau tiga orang saja yang angkat tangan. Ertinya masih banyak lagi orang-orang kita yang beragama Islam tetapi kurang memperhatikan sembahyangnya. Ada juga yang mengatakan, “Saya sembahyang Subuh pagi tadi cikgu tapi ibu saya jadi imam!……

Umat Islam mengalami keruntuhan. Masa gemilangnya telah meninggalkan mereka. Kekuatan dan kehormatannya telah hilang. Menurut penglihatan lawannya yang ingin menghancurkannya mengatakan ajalnya hampir tiba, akan tetapi Alhamdulillah akhirnya mereka sedar bahawa mereka dalam bahaya, namun begitu mereka masih lagi berada di dalam kalang kabut, setelah baru sahaja bangun dari tidurnya yang nyenyak, kemudian tergesa-gesa bangun kerana ada huru-hara di sekelilingnya. Mereka melompat lari kebingungan ke sana kemari dalam kegelapan untuk menghindari apa yang disangka seperti bahaya yang mengancam, tetapi tidak tahu ke mana arahnya.

Demikian itulah kebingungan umat Islam yang baru bangun melihat kanan dan kirinya. Bahaya besar ada di mukanya, akan tetapi mereka tidak tahu di manakah jalan keluarnya. Ia merasa bingung sekali dan berlari termengah-mengah di sana sini sambil membayangkan, mungkin dapat menemukan pintu wasiat. Apa yang dikejar itu mungkin keselamatannya yang sebenar atau sinar sesat yang memperdayakan dengan harapan kosong atau mungkin sesuatu yang benar-benar membahayakan kapadanya. Iaitu jalan yang tidak akan menghantar mereka ke syurga dan keselamatan, melainkan melemparkan mereka ke batu maut.

Mereka menghadapi bahaya maut. Mereka berjuang bermati-matian untuk memperjuangkan hidupnya. Ia melompat tetapi lompatan di waktu gelap, mungkin tempat jatuh lompatannya di jalan benar atau malahan jatuh ke tempat merbahaya yang lebih besar lagi. Yang lebih celaka lagi dalam saat-saat merbahaya ini adanya sifat-sifat kemunafikan yang berselindung di sebalik perkataan simpati, bersahabat dan setiakawan, untuk menarik keuntungan dari situasi itu. Pemimpin,penonton,kawan dan penyokong timbul seperti cendawan kena hujan, semuanya berlagak seperti penuntut kebebasan, tetapi di belakang layar, mereka memperalatkan si malang untuk menjadi pelayan tujuan peribadinya….dipetik dr buku Rahsia Cipta Kejayaan

Dalam tubuh badan manusia terdapat enam jenis batu yang dapat dikesan baru-baru ini. Batu pertama ialah kepala batu iaitu orang yang pandai tapi tidak boleh diikut atau orang yang bodoh tapi tidak boleh diikut. Gigi batu iaitu bila kita tidak menjaga cara makan dan kurang menjaga kebersihan gigi dan mulut akhirnya akan muncullah sebilah atau berbilah-bilah gigi batu milik kita. Hati batu ialah merujuk lebih kepada sikap seseorang itu.Tidak mahu bertolak ansur dan keras hati, hanya kata-katanya sahaja yang betul dan kehendaknya sahaja yang hendak diikut. Jerawat batu ialah biasanya letaknya di muka, tidak memilih orang tempat ia hendak hinggap. Bila kena orang muda belia dan golongan remaja pusing kepala, kedai ubat dan berbagai jenama kecantikan mengaut keuntungan.Batu Api iaitu seorang manusia yang selalunya menyebabkan perkelahian dan pergaduhan di dalam masyarakat. Batu Karang iaitu sejenis penyakit tumbuh ketul batu dalam pundi-pundi kencing. Terasa terlalu sakit apabila hendak membuang air kencing. Kadangkala kencing boleh keluar darah. Sebelum parah lebih baik pergi hospital berubat atau minum air piasau untuk penawar. Batu Meroyan iaitu batu yang ada dalam diri seorang wanita sahaja. Seorang suami  hendaklah beringat-ingat terutama semasa  pantang selepas isteri melahirkan. Jika kurang pertimbangan dan kasih sayang boleh jadi sakit gila meroyan.

…Tidak semudah yang dikata jika ikutkan peribahasa ”Kalau hendak seribu daya kalau tak hendak seribu dalih”…begitulah keadaan kita sekarang. Namun kita mestilah meneruskan perjuangan hingga ke hujungnya…bak kata pepatah “gengam bara api biar sampai jadi arang”. Inilah yang kita sama-sama pinta kepada-Nya dahulu siang dan malam semasa meletakkan kepala di atas tikar sembahyang. Oleh itu jangan merasa lemah…kita akan berjaya juga akhirnya asal kita betul-betul taqwa…Teruskan perjuangan jangan pula… “pulang ke pangkal jalan kerana sesat di tengah jalan”. Tidak kita mesti sama-sama meneruskan jangan pula nanti dikata dunia…”besar pasak dari tiang” atau ada orang mengata “kalau kail panjang sejengkal lautan dalam jangan diduga”…Kita teruskan ”biar merah mata besar muka dan kepala” selagi belum sampai hajat jangan dihentikan. Kita berpegang kepada “usaha itu tangga kejayaan” dan biar “susah dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna”….

Perkataan Masjid berasal daripada bahasa Arab.Kata asalnya ialah Sujudan. Fiel madinya ialah Sajada yang bererti telah sujud. Fiel Sajada diberi awalan Ma sehingga terjadilah isim makan (nama tempat). Isim makan ini menyebabkan perubahan bentuk Sajada menjadi Masjidu, Masjid.

Menurut Syarak perkataan masjid bererti ‘seluruh tempat dipermukaan bumi ini’ sesuai dengan maksud sabda Nabi Muhammad saw:

“Seluruh permukaan bumi ini telah dijadikan suci dan masjid bagiku”

Perkara ini adalah salah satu keistemewaan umat Nabi Muhammad saw. Berkata Qadi Iyad, “kerana umat-umat yang terdahulu daripada kita tidak sembahyang,kecuali pada tempat yang mereka yakini kebersihannya, sedangkan kita umat Muhammad saw diberi keistemewaan dengan diharuskan sembahyang di mana-mana sahaja di atas permukaan bumi ini, kecualilah di tempat yang kita yakini ada najis”

Menurut al-Qurtubi, “ini suatu keistemewaan yang diberikan oleh Allah kepada Nabi Muhammad saw kerana para ‘Anbiya’ sebelum Baginda tidak diharuskan mengerjakan sembahyang kecuali pada tempat-tempat tertentu sahaja seperti rumah-rumah ibadat dan sebagainya”

Perkara ini menyatakan bahawa permukaan bumi adalah masjid bagi kaum muslimin. Setiap orang Islam boleh mengerjakan sembahyang di mana pun ia berada, kecuali tempat-tempat yang menurut hukum syarak tidak dibenarkan sembahyang. Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud:

“Telah dijadikan bagi kita bumi ini sebagai tempat sujud dan keadaannya bersih”

Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad saw ke Madinah pada tahun 622M menerangkan lebih lanjut mengenai makna Masjid. Di dalam perjalanan tersebut Nabi Muhammad saw singgah di Quba. Di sini Baginda saw membina sebuah masjid yang kecil saiznya. Inilah masjid pertama bagi umat Islam. Bentuknya empat segi, berdinding sekelilingnya , di sebelah utaranya dibuat serambi untuk tempat sembahyang, tiangnya batang-batang kurma bercampur dengan tanah liat. Nabi Muhammad saw juga meletakkan batu sebagai petunjuk hala arah Qiblat. Selain itu Baginda saw juga meletakkan batu “Mihrab”. Pembinaan masjid ini dibuat secara beramai-ramai bersama penduduk Quba dan Nabi Muhammad saw sendiri turut mengangkat batu.

Walaupun masjid ini kecil tetapi ia menjadi asas dan contoh bangunan masjid di masa hadapan. Masjid ini sekarang terkenal dengan nama Masjid Quba.

 “Pendidikan Suatu Pemikiran Semula” adalah sebuah buku karangan Prof Dr Tajul  Ariffin Noordin. Isi kandungan buku ini telah saya ringkaskan menjadi sebelas bab seperti berikut:

 

BAB 1: KEMENTERIAN PENDIDIKAN: Konsep dan Signifikannya

          Kementerian Pendidikan adalah nama baru bagi Kementerian Pelajaran. Keadaan ini diharapkan dapat membawa perubahan kepada rakyat khususnya rakyat Malaysia agar lebih bertamadun melalui pendidikan. Konsep pendidikan lebih sempurna dalam mengembangkan pengajaran dan pembelajaran. Keutamaannya ialah pertama kita perlu faham konsep pendidikan. Kemudian pengisian yang perlu dilakukan dan strategi pelaksanaan program-program pendidikan. Akhirnya sistem pelajaran yang ada perlu dinilai supaya selaras dengan kehendak falsafah dan konsep pendidikan. Setelah prinsip pendidikan dilaksanakan sepenuhnya maka ia akan melahirkan generasi para intelek yang berilmu, beriman dan beramal.

 

BAB 2: DASAR PENDIDIKAN: Mengapa Malaysia Perlu Mempunyai Dasar  Pendidikan Tersendiri

Matlamat pendidikan Negara Malaysia ialah untuk membentuk masyarakat yang boleh menggunakan akalnya, serta boleh berfikir ke tahap maksima agar lebih bertanggungjawab. Penulis merasakan keseluruhan pendidikan sekarang berpaksikan Barat dan tidak sesuai bagi Negara Malaysia. Untuk membina rakyat  yang berakhlak, bermaruah dan tinggi daya tahan perlu ada falsafah dan dasar pendidikan tersendiri. Konsep hidup masyarakat Barat mesti ditolak kerana ia lebih pentingkan kepada kebendaan dan diri sendiri. Sikap inilah yang akan melahirkan penyakit sosial dalam masyarakat. Kita mesti pilih konsep dan kaedah pendidikan yang terbaik sahaja. Kemajuan Barat hendaklah dikaji dan ambil kebaikannya sahaja. Seterusnya kita perlu berfikir dan  mencari sendiri dasar dan falsafah pendidikan yang sesuai dengan matlamat pendidikan. Pendidikan akhlak dan disiplin pelajar mesti diutamakan.Mata pelajaran Agama Islam adalah diwajibkan pada semua peringkat sekolah dan universiti agar dapat melahirkan insan yang berguna di dunia dan bahagia di akhirat.

 

BAB 3: GURU DAN PENDIDIKAN

          Status dan kualiti guru kini amat rendah. Sebabnya mereka meninggalkan konsep ibadah dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru lebih pentingkan matlamat kebendaan daripada keikhlasan untuk membina generasi muda. Guru hendaklah bertanggungjawab dan jangan mengejar keduniaan semata-mata. Guru sepatutnya mencorakkan perubahan  agar selari dengan falsafah pendidikan, bangsa dan agama kerana masa depan agama dan bangsa banyak bergantung kepada peribadi guru dan pendidikan. Kita tidak menolak pembangunan tetapi biarlah pembangunan dan kemajuan yang dapat melahirkan pelajar dan seterusnya masyarakat yang baik. Dalam hal ini guru mempunyai peranan yang besar untuk melahirkan pelajar yang kuat imannya dan cemerlang  akademiknya. Justeru itu guru mesti melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan dan ilmu keagamaan.

BAB 4: PERANAN IBU BAPA

          Ibu bapa mempunyai peranan untuk mendidik anak-anak menjadi orang baik dan berakhlak. Ibu bapa mempunyai kewajipan dan tanggungjawab  yang lebih utama dalam mendidik anak-anak daripada guru-guru di sekolah. Matlamat pendidikan bukan sekadar untuk kejayaan akademik dan kebendaan sahaja. Pendidikan adalah proses yang berterusan seumur hidup sesuai dengan ajaran agama Islam.  Ibu bapa yang baik ialah mereka yang mengharapkan anaknya memperolehi keseimbangan ilmu antara dunia dan akhirat. Dengan ini akan lahirlah anak yang mampu mempertahankan agama, bangsa dan tanahair. Ibu bapa hendaklah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang terbaik untuk anaknya. Kanak-kanak perlu diberikan pendidikan untuk memperkembangkan akalnya ke arah kesejahteraan kehidupan, kemahiran yang berfaedah dan dapat membentuk sikap yang sihat terhadap pelajaran dan pembelajaran.

BAB 5: DISIPLIN DAN MOTIVASI

Penulis mencadangkan untuk mengatasi masalah disiplin hendaklah melalui pembinaan akhlak. Akhlak yang baik akan menghasilkan disiplin yang baik tetapi tidak sebaliknya. Maknanya pembinaan jiwa diri pelajar mestilah kukuh sehingga tidak dapat dipengaruhi oleh budaya kebendaan. Di samping itu Ibu bapa, guru-guru dan masyarakat mempunyai peranan yang penting sebagai perangsang, pemberi maklumat dan ‘role model’ untuk dicontohi oleh pelajar. Pihak kerajaan pula hendaklah membina semula dasar dan sistem pendidikan yang ideal. Salah satu cara yang baik ialah dengan mewajibkan mata pelajaran agama Islam kepada semua pelajar yang beragama Islam.

Kurikulum di institusi pengajian tinggi diharapkan dapat menghasilkan pelajar yang bermotivasi, berdisiplin dan berakhlak. Penulis mengharapkan melalui kursus pendidikan hidup akan dapat melahirkan pelajar khususnya pelajar Melayu dan Islam yang kuat berpegang kepada agama, mengutamaakan kebudayaan bangsa dan cintakan tanah air.

 

BAB 6: PEMBELAJARAN

Dalam pembelajaran pelajar-pelajar baru sering menghadapi masalah peribadi dan akademik. Menurut penulis pelajar perlu dibimbing untuk tujuan akademik dan penyesuaian kehidupan di kampus. Pelajar bumiputera di universiti lemah dalam pengurusan masa dan penentuan jadual kerja mengikut keutamaan. Pelajar juga bersikap sederhana dalam mencari kecemerlangan. Perkara ini dapat diatasi dengan memberi kursus atau program  yang bersesuaian di peringkat universiti,fakulti atau asrama.

 

BAB 7: PELAJARAN DAN PROFESIONALISME PELAJAR

          Pelajar cemerlang adalah pelajar yang menguasai kemahiran belajar dan berakhlak mulia. Semua pendidik menyatakan kelemahan sebahagian besar pelajar Melayu berpunca daripada sikap. Namun tidak dinafikan banyak juga pelajar-pelajar Melayu yang berjaya. Menurut penulis pelajar hendaklah menguasai ciri-ciri keprofesionalisma pelajar dalam pembelajaran. Ciri-ciri ini dapat menjadikan mereka pelajar Melayu yang bersemangat, cemerlang dan bertaqwa.

 

BAB 8: FALSAFAH DAN PENDIDIKAN

          Konsep keilmuan mesti diasaskan kepada sejarah, kebudayaan, tamadun, nilai dan kepercayaan sesuatu bangsa. Dengan ini akan lahirlah konsep ilmu yang seimbang, menyeluruh dan sepadu. Dalam hal ini Negara Malaysia sedang berusaha menilai dan membina konsep ilmu yang lebih seimbang,menyeluruh dan bersepadu antara kehendak dunia dan kepentingan akhirat. Bagi penulis di dalam pendidikan kita mestilah mendahulukan           falsafah keilmuan Islam kerana ia merupakan kekuatan bagi umat Islam bagi membina umat yang cemerlang.

 

BAB 9: JENIS-JENIS  PENDIDIKAN

          Di dalam buku ini penulis ada membincangkan mengenai pendidikan belia,pendidikan liberal, pendidikan biologi dan industri,pendidikan biologi di universiti, pendidikan alam sekitar dan pendidikan sains.

          Belia mesti dididik dengan strategi yang betul supaya dapat menghadapi cabaran pembangunan. Belia adalah kekuatan negara. Oleh itu kita perlu belia yang kuat untuk survival agama,bangsa dan negara. Melalui pendidikan seumur hidup belia akan dapat menghadapi perubahan dan cabaran pembangunan. Surau dan masjid boleh digunakan untuk pendidikan belia bagi menghindari penyakit sosial seperti dadah. Industri untuk melatih belia dalam bidang kejuruteraan, komputer, ekonomi, perakaunan dan perusahaan perlu ada. Perkara ini dimulakan pada peringkat daerah, negeri dan akhirnya negara.

          Pendidikan liberal adalah pendidikan Barat. Kebaikannya ialah ia dapat mengembangkan bakat dan potensi setiap individu. Tetapi gagal membina   manusia secara sempurna dan sepadu dari aspek akal, jasmani dan kerohanian. 

          Negara juga perlu mengutamakan pendidikan Biologi baik untuk kepentingan perindustrian atau untuk pembelajaran di universiti. Kurikulum pendidikan Biologi mesti sesuai dengan   alam pekerjaan.

          Pendidikan alam sekitar diharapkan akan dapat menyelesaikan masalah-masalah alam sekitar di negara Malaysia. Pendidikan  sains pula diharapkan akan dapat melahirkan pelajar yang mahir dan berakhlak mulia serta dapat memahami peraturan  dan perhubungan alam. Akhirnya akan lahirlah insan yang mempunyai daya pemikiran, sikap dan amalan yang bertanggungjawab sebagai pembawa kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan.

 

BAB 10: PENDIDIKAN SEPADU DAN PEMBANGUNAN UMMAH

          Pendidikan sepadu diharapkan dapat melahirkan rakyat yang mampu menyumbangkan tenaga dalam kegiatan pembangunan negara. Pendidikan sepadu juga dihasratkan akan melahirkan manusia yang seimbang iaitu manusia yang sentiasa berusaha untuk kemajuan di dunia tetapi sentiasa bersabar, bersyukur dan ingat kepada Allah. Penulis menolak dualisme dalam pendidikan kerana ia menjauhkan kita dari agama . Kita tidak mahu melahirkan manusia yang tinggi pelajaran tetapi sombong kepada Allah. Pendidikan yang diperlukan ialah pendidikan yang dapat melahirkan manusia yang seimbang dari segi intelek,jasmani dan kerohanian.

 

BAB 11: MASA DEPAN KITA:Implikasi ke Atas Pendidikan

          Penulis menegaskan untuk melahirkan pelajar yang berakhlak dan berintelektual, usaha pertama ialah dengan menghayati ilmu wahyu bersama-sama dengan ilmu akal. Pendidikan yang dapat membina manusia secara bersepadu dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani perlu diwujudkan. Kita jangan terlalu pasif dan liberal. Hendaklah selalu mencari dan menghayati nilai hidup yang unggul dan benar. Kita perlu identiti pendidikan kita sendiri yang sesuai dengan kehendak agama, bangsa dan tanah air dalam mengharungi dunia pendidikan semasa dan akan datang. Meniru dan mengamalkan pendidikan Barat secara total adalah sikap yang tidak bijak. Dalam hal ini falsafah, matlamat dan kurikulum haruslah menurut budaya setempat dan tidak menyalahi kehendak agama Islam. 

1.SATU

PURNAMA RAYA TELAH TERBIT DI ATAS KEPALA

MEMANCARKAN CAHAYA DARI CELAH-CELAH PERGUNUNGAN

GEMBIRA SYUKUR MELIPUTI JIWA DAN RAGA

DAKWAH AMANAH ILAHI SUDAH DISERUKAN

WAHAI ! UTUSAN YANG AKAN MEMBERIKAN PIMPINAN

PERINTAH MU DENGAN PATUH AKAN KAMI LAKSANAKAN

(PENDUDUK KOTA MADINAH)

2.DUA

DI KALA AMINAH MELAHIRKAN ANAKNYA

DUNIA TERANG BERMANDIKAN CAHAYA

CAHAYA YANG AMAT KITA PERLUKAN

PETUNJUK JALAN KEBAHAGIAAN

(ABBAS BIN ABDUL MUTTALIB)

3.TIGA

CITA-CITA TINGGI DI PUNCAK GUNUNG

JALAN MENUJU BERLURAH BERBUKIT

DI TENGAH JALAN JANGAN BERMENUNG

TERUSKAN USAHA WALAUPUN PERIT

(HAMKA)

4. EMPAT

TIAP-TIAP MALAM KANDA BERMIMPI

ADINDA DI TENGAH KANDA DI TEPI

MENGHISAP ROKOK MEMINUM KOPI

MEMELUK TENGKUK MENCIUM PIPI

SEDAP RASANYA TIADA TERPERI

HARUM BAUNYA UMPAMA KASTURI

SUKA DAN HILAI SENANG DI HATI

KASIH MESRA SEHINGGA KE MATI

(TOK SELEHOR)

Pada satu hari, semua haiwan-haiwan telah mengadakan satu mesyuarat. Dalam mesyuarat tersebut mereka telah meluluskan satu cadangan bagi menangani dunia baru yang semakin mencabar. Mereka mendirikan sebuah sekolah  dan merangka kurikulum yang mana di dalamnya termasuklah aktiviti berlari,memanjat,berenang dan terbang. Semua haiwan yang berdaftar diwajibkan mengambil semua mata pelajaran.

Itik, adalah seorang pelajar yang sangat pandai berenang malah gurunya pun dapat dikalahkannya. Itik dapat markah yang tinggi dalam aktiviti terbang tetapi sangat lemah dalam aktiviti larian. Itik akhirnya kurang berlatih dalam berenang dan menumpukan kepada aktiviti larian. pada satu hari kaki itik cedera. Dia hanya dapat markah sederhana dalam aktiviti renang.

Arnab, seorang pelajar yang terkenal kerana lariannya yang pantas. Tapi ia merasa bimbang kerana dia selalu berpusing ketika berenang dan selalu hampir lemas.

Tupai pula sangat pintar memanjat sehingga monyet pun kalah.Dia diajar oleh ibubapanya selalu sehingga mahir.Tapi tupai kecewa dalam aktiviti terbang sebab tidak biasa.Dalam memanjat tupai dapat markah tinggi tapi gagal dalam aktiviti berlari dan berenang.

Helang juga berjaya dengan cemerlang dalam aktiviti memanjat tapi ia sebenarnya terbang, itulah sebabnya ia boleh sampai ke puncak pohon dengan pantas. Namun ia gagal dalam aktiviti lain.

Tapi satu hal yang memeranjatkan semua pelajar lain telah berlaku. Seekor belut yang tidak berkaki dan tidak pula bersayap telah mendapat markah paling tinggi. Dia menang semua acara.

Apakah yang dilakukan oleh belut hingga dia berjaya? Anda fikirlah jawapannya sendiri…….

Majlis pengislaman ini berlaku pada 17 Julai 2007 bersamaan dengan 2 Rejab 1428H. Majlis ini di adakan di Dewan Anggerik Sekolah Menengah Berakas. Di antara yang hadir pada majlis itu ialah pengetua sekolah, timbalan pengetua, ketua Jabatan Ugama dan Bahasa Arab. Pegawai-pegawai dan guru sekolah Menengah Berakas juga ikut memeriahkan majlis tersebut. Saya sendiri diberi penghormatan untuk membaca doa pada majlis tersebut. Pelajar yang diraikan terdiri dari tiga orang pelajar perempuan. Semoga mereka tetap berpegang teguh kepada agama Islam yang baru mereka anuti hingga ke akhir hayat. Amin.

SAMBAL BELACAN

Sambal belacan adalah salah satu makanan tradisi masyarakat Brunei. Ia paling digemari oleh orang-orang yang sudah berumur. Namun ada juga orang muda belia yang menyukainya. Walaupun ada setengah orang tidak menyukainya kerana baunya yang kuat menyengat. Kadang-kadang ia dihidangkan pada majlis-majlis keramaian tertentu seperti di majlis perkahwinan dan majlis membaca doa selamat dan lain-lain. Jenis makanan ini patut dipertahankan hingga ke genarasi akan datang. Sebenarnya ia dibuat daripada “bubuk” iaitu sejenis udang yang kecil. Di tumbuk halus dan dicampur dengan berbagai bahan seperti bawang dan lain-lain. Bila makan menurut penggemarnya ‘Inda Nampak Daun Telinga”.

GUNUNG-GANANG

Apabila kita melihat gunung-ganang,hutan-belantara,lautan-daratan kita akan dapat melihat kebesaran Tuhan. Ini bagi mereka yang menggunakan akal fikirannya. Di dalam al-Quran ada banyak ayat menerangkan bukit-bukau dan gunung-ganang sebagai pasak bumi. Hutan-belantara sebagai alam ciptaan tuhan tempat tinggal binatang-binatang yang menjadi sumber makanan bagi sebahagian besar manusian. Begitu juga mengenai lautan dan daratan yang sememangnya kita manusia boleh menggunakannya untuk sumber kehidupan kita. Kata orang “setinggi-tinggi gunung ada lagi awan di atasnya”

« Laman SebelumnyaLaman Berikutnya »