“Pendidikan Suatu Pemikiran Semula” adalah sebuah buku karangan Prof Dr Tajul  Ariffin Noordin. Isi kandungan buku ini telah saya ringkaskan menjadi sebelas bab seperti berikut:

 

BAB 1: KEMENTERIAN PENDIDIKAN: Konsep dan Signifikannya

          Kementerian Pendidikan adalah nama baru bagi Kementerian Pelajaran. Keadaan ini diharapkan dapat membawa perubahan kepada rakyat khususnya rakyat Malaysia agar lebih bertamadun melalui pendidikan. Konsep pendidikan lebih sempurna dalam mengembangkan pengajaran dan pembelajaran. Keutamaannya ialah pertama kita perlu faham konsep pendidikan. Kemudian pengisian yang perlu dilakukan dan strategi pelaksanaan program-program pendidikan. Akhirnya sistem pelajaran yang ada perlu dinilai supaya selaras dengan kehendak falsafah dan konsep pendidikan. Setelah prinsip pendidikan dilaksanakan sepenuhnya maka ia akan melahirkan generasi para intelek yang berilmu, beriman dan beramal.

 

BAB 2: DASAR PENDIDIKAN: Mengapa Malaysia Perlu Mempunyai Dasar  Pendidikan Tersendiri

Matlamat pendidikan Negara Malaysia ialah untuk membentuk masyarakat yang boleh menggunakan akalnya, serta boleh berfikir ke tahap maksima agar lebih bertanggungjawab. Penulis merasakan keseluruhan pendidikan sekarang berpaksikan Barat dan tidak sesuai bagi Negara Malaysia. Untuk membina rakyat  yang berakhlak, bermaruah dan tinggi daya tahan perlu ada falsafah dan dasar pendidikan tersendiri. Konsep hidup masyarakat Barat mesti ditolak kerana ia lebih pentingkan kepada kebendaan dan diri sendiri. Sikap inilah yang akan melahirkan penyakit sosial dalam masyarakat. Kita mesti pilih konsep dan kaedah pendidikan yang terbaik sahaja. Kemajuan Barat hendaklah dikaji dan ambil kebaikannya sahaja. Seterusnya kita perlu berfikir dan  mencari sendiri dasar dan falsafah pendidikan yang sesuai dengan matlamat pendidikan. Pendidikan akhlak dan disiplin pelajar mesti diutamakan.Mata pelajaran Agama Islam adalah diwajibkan pada semua peringkat sekolah dan universiti agar dapat melahirkan insan yang berguna di dunia dan bahagia di akhirat.

 

BAB 3: GURU DAN PENDIDIKAN

          Status dan kualiti guru kini amat rendah. Sebabnya mereka meninggalkan konsep ibadah dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru lebih pentingkan matlamat kebendaan daripada keikhlasan untuk membina generasi muda. Guru hendaklah bertanggungjawab dan jangan mengejar keduniaan semata-mata. Guru sepatutnya mencorakkan perubahan  agar selari dengan falsafah pendidikan, bangsa dan agama kerana masa depan agama dan bangsa banyak bergantung kepada peribadi guru dan pendidikan. Kita tidak menolak pembangunan tetapi biarlah pembangunan dan kemajuan yang dapat melahirkan pelajar dan seterusnya masyarakat yang baik. Dalam hal ini guru mempunyai peranan yang besar untuk melahirkan pelajar yang kuat imannya dan cemerlang  akademiknya. Justeru itu guru mesti melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan dan ilmu keagamaan.

BAB 4: PERANAN IBU BAPA

          Ibu bapa mempunyai peranan untuk mendidik anak-anak menjadi orang baik dan berakhlak. Ibu bapa mempunyai kewajipan dan tanggungjawab  yang lebih utama dalam mendidik anak-anak daripada guru-guru di sekolah. Matlamat pendidikan bukan sekadar untuk kejayaan akademik dan kebendaan sahaja. Pendidikan adalah proses yang berterusan seumur hidup sesuai dengan ajaran agama Islam.  Ibu bapa yang baik ialah mereka yang mengharapkan anaknya memperolehi keseimbangan ilmu antara dunia dan akhirat. Dengan ini akan lahirlah anak yang mampu mempertahankan agama, bangsa dan tanahair. Ibu bapa hendaklah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang terbaik untuk anaknya. Kanak-kanak perlu diberikan pendidikan untuk memperkembangkan akalnya ke arah kesejahteraan kehidupan, kemahiran yang berfaedah dan dapat membentuk sikap yang sihat terhadap pelajaran dan pembelajaran.

BAB 5: DISIPLIN DAN MOTIVASI

Penulis mencadangkan untuk mengatasi masalah disiplin hendaklah melalui pembinaan akhlak. Akhlak yang baik akan menghasilkan disiplin yang baik tetapi tidak sebaliknya. Maknanya pembinaan jiwa diri pelajar mestilah kukuh sehingga tidak dapat dipengaruhi oleh budaya kebendaan. Di samping itu Ibu bapa, guru-guru dan masyarakat mempunyai peranan yang penting sebagai perangsang, pemberi maklumat dan ‘role model’ untuk dicontohi oleh pelajar. Pihak kerajaan pula hendaklah membina semula dasar dan sistem pendidikan yang ideal. Salah satu cara yang baik ialah dengan mewajibkan mata pelajaran agama Islam kepada semua pelajar yang beragama Islam.

Kurikulum di institusi pengajian tinggi diharapkan dapat menghasilkan pelajar yang bermotivasi, berdisiplin dan berakhlak. Penulis mengharapkan melalui kursus pendidikan hidup akan dapat melahirkan pelajar khususnya pelajar Melayu dan Islam yang kuat berpegang kepada agama, mengutamaakan kebudayaan bangsa dan cintakan tanah air.

 

BAB 6: PEMBELAJARAN

Dalam pembelajaran pelajar-pelajar baru sering menghadapi masalah peribadi dan akademik. Menurut penulis pelajar perlu dibimbing untuk tujuan akademik dan penyesuaian kehidupan di kampus. Pelajar bumiputera di universiti lemah dalam pengurusan masa dan penentuan jadual kerja mengikut keutamaan. Pelajar juga bersikap sederhana dalam mencari kecemerlangan. Perkara ini dapat diatasi dengan memberi kursus atau program  yang bersesuaian di peringkat universiti,fakulti atau asrama.

 

BAB 7: PELAJARAN DAN PROFESIONALISME PELAJAR

          Pelajar cemerlang adalah pelajar yang menguasai kemahiran belajar dan berakhlak mulia. Semua pendidik menyatakan kelemahan sebahagian besar pelajar Melayu berpunca daripada sikap. Namun tidak dinafikan banyak juga pelajar-pelajar Melayu yang berjaya. Menurut penulis pelajar hendaklah menguasai ciri-ciri keprofesionalisma pelajar dalam pembelajaran. Ciri-ciri ini dapat menjadikan mereka pelajar Melayu yang bersemangat, cemerlang dan bertaqwa.

 

BAB 8: FALSAFAH DAN PENDIDIKAN

          Konsep keilmuan mesti diasaskan kepada sejarah, kebudayaan, tamadun, nilai dan kepercayaan sesuatu bangsa. Dengan ini akan lahirlah konsep ilmu yang seimbang, menyeluruh dan sepadu. Dalam hal ini Negara Malaysia sedang berusaha menilai dan membina konsep ilmu yang lebih seimbang,menyeluruh dan bersepadu antara kehendak dunia dan kepentingan akhirat. Bagi penulis di dalam pendidikan kita mestilah mendahulukan           falsafah keilmuan Islam kerana ia merupakan kekuatan bagi umat Islam bagi membina umat yang cemerlang.

 

BAB 9: JENIS-JENIS  PENDIDIKAN

          Di dalam buku ini penulis ada membincangkan mengenai pendidikan belia,pendidikan liberal, pendidikan biologi dan industri,pendidikan biologi di universiti, pendidikan alam sekitar dan pendidikan sains.

          Belia mesti dididik dengan strategi yang betul supaya dapat menghadapi cabaran pembangunan. Belia adalah kekuatan negara. Oleh itu kita perlu belia yang kuat untuk survival agama,bangsa dan negara. Melalui pendidikan seumur hidup belia akan dapat menghadapi perubahan dan cabaran pembangunan. Surau dan masjid boleh digunakan untuk pendidikan belia bagi menghindari penyakit sosial seperti dadah. Industri untuk melatih belia dalam bidang kejuruteraan, komputer, ekonomi, perakaunan dan perusahaan perlu ada. Perkara ini dimulakan pada peringkat daerah, negeri dan akhirnya negara.

          Pendidikan liberal adalah pendidikan Barat. Kebaikannya ialah ia dapat mengembangkan bakat dan potensi setiap individu. Tetapi gagal membina   manusia secara sempurna dan sepadu dari aspek akal, jasmani dan kerohanian. 

          Negara juga perlu mengutamakan pendidikan Biologi baik untuk kepentingan perindustrian atau untuk pembelajaran di universiti. Kurikulum pendidikan Biologi mesti sesuai dengan   alam pekerjaan.

          Pendidikan alam sekitar diharapkan akan dapat menyelesaikan masalah-masalah alam sekitar di negara Malaysia. Pendidikan  sains pula diharapkan akan dapat melahirkan pelajar yang mahir dan berakhlak mulia serta dapat memahami peraturan  dan perhubungan alam. Akhirnya akan lahirlah insan yang mempunyai daya pemikiran, sikap dan amalan yang bertanggungjawab sebagai pembawa kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan.

 

BAB 10: PENDIDIKAN SEPADU DAN PEMBANGUNAN UMMAH

          Pendidikan sepadu diharapkan dapat melahirkan rakyat yang mampu menyumbangkan tenaga dalam kegiatan pembangunan negara. Pendidikan sepadu juga dihasratkan akan melahirkan manusia yang seimbang iaitu manusia yang sentiasa berusaha untuk kemajuan di dunia tetapi sentiasa bersabar, bersyukur dan ingat kepada Allah. Penulis menolak dualisme dalam pendidikan kerana ia menjauhkan kita dari agama . Kita tidak mahu melahirkan manusia yang tinggi pelajaran tetapi sombong kepada Allah. Pendidikan yang diperlukan ialah pendidikan yang dapat melahirkan manusia yang seimbang dari segi intelek,jasmani dan kerohanian.

 

BAB 11: MASA DEPAN KITA:Implikasi ke Atas Pendidikan

          Penulis menegaskan untuk melahirkan pelajar yang berakhlak dan berintelektual, usaha pertama ialah dengan menghayati ilmu wahyu bersama-sama dengan ilmu akal. Pendidikan yang dapat membina manusia secara bersepadu dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani perlu diwujudkan. Kita jangan terlalu pasif dan liberal. Hendaklah selalu mencari dan menghayati nilai hidup yang unggul dan benar. Kita perlu identiti pendidikan kita sendiri yang sesuai dengan kehendak agama, bangsa dan tanah air dalam mengharungi dunia pendidikan semasa dan akan datang. Meniru dan mengamalkan pendidikan Barat secara total adalah sikap yang tidak bijak. Dalam hal ini falsafah, matlamat dan kurikulum haruslah menurut budaya setempat dan tidak menyalahi kehendak agama Islam.