Umat Islam mengalami keruntuhan. Masa gemilangnya telah meninggalkan mereka. Kekuatan dan kehormatannya telah hilang. Menurut penglihatan lawannya yang ingin menghancurkannya mengatakan ajalnya hampir tiba, akan tetapi Alhamdulillah akhirnya mereka sedar bahawa mereka dalam bahaya, namun begitu mereka masih lagi berada di dalam kalang kabut, setelah baru sahaja bangun dari tidurnya yang nyenyak, kemudian tergesa-gesa bangun kerana ada huru-hara di sekelilingnya. Mereka melompat lari kebingungan ke sana kemari dalam kegelapan untuk menghindari apa yang disangka seperti bahaya yang mengancam, tetapi tidak tahu ke mana arahnya.

Demikian itulah kebingungan umat Islam yang baru bangun melihat kanan dan kirinya. Bahaya besar ada di mukanya, akan tetapi mereka tidak tahu di manakah jalan keluarnya. Ia merasa bingung sekali dan berlari termengah-mengah di sana sini sambil membayangkan, mungkin dapat menemukan pintu wasiat. Apa yang dikejar itu mungkin keselamatannya yang sebenar atau sinar sesat yang memperdayakan dengan harapan kosong atau mungkin sesuatu yang benar-benar membahayakan kapadanya. Iaitu jalan yang tidak akan menghantar mereka ke syurga dan keselamatan, melainkan melemparkan mereka ke batu maut.

Mereka menghadapi bahaya maut. Mereka berjuang bermati-matian untuk memperjuangkan hidupnya. Ia melompat tetapi lompatan di waktu gelap, mungkin tempat jatuh lompatannya di jalan benar atau malahan jatuh ke tempat merbahaya yang lebih besar lagi. Yang lebih celaka lagi dalam saat-saat merbahaya ini adanya sifat-sifat kemunafikan yang berselindung di sebalik perkataan simpati, bersahabat dan setiakawan, untuk menarik keuntungan dari situasi itu. Pemimpin,penonton,kawan dan penyokong timbul seperti cendawan kena hujan, semuanya berlagak seperti penuntut kebebasan, tetapi di belakang layar, mereka memperalatkan si malang untuk menjadi pelayan tujuan peribadinya….dipetik dr buku Rahsia Cipta Kejayaan