ABSTRAK
Kecemerlangan pencapaian pelajar dalam subjek PUI seharusnya lebih diutamakan dan mendapat perhatian khusus dari semua pihak yang berkenaan memandangkan Ugama Islam adalah ugama rasmi negara dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Tetapi akhir-akhir ini diperhatikan pencapaian pelajar dalam peperiksaan GCE ‘O’ Level bagi subjek PUI telah memperlihatkan berlakunya penurunan terutama peratusan pelajar yang memperolehi gred A-C. Justeru keadaan tersebut perlu dibuat kajian bagi melihat usaha-usaha yang telah dilakukan oleh guru dan pelajar di dalam pengajaran dan pembelajaran subjek PUI. Kajian ini dijalankan di 6 buah sekolah menengah Kerajaan di Daerah Brunei Muara yang melibatkan 30 orang guru ugama dan 180 orang pelajar. Data bagi persoalan kajian ini diperolehi melalui soal selidik dan temu bual. Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai ciri-ciri guru, faktor-faktor penyebab, dan usaha-usaha untuk meningkatkan pencapaian pelajar di dalam peperiksaan GCE ‘O’ Level bagi subjek PUI. Hasil kajian mendapati sifat malas, belajar saat akhir, tidak minat subjek PUI, menganggap subjek PUI tidak penting dan tiada kemahiran belajar berkesan adalah punca utama menurunnya pencapaian pelajar dalam peperiksaan GCE ‘O’ Level bagi subjek PUI. Hasil kajian juga mendapati cara terbaik untuk mengatasi masalah di atas ialah dengan memberi pelajar motivasi yang menyeluruh dan berterusan, memperbanyakkan latihan dan ulangkaji, membaca, memahami soalan peperiksaan dan bijak mengurus masa. Sementara itu kajian juga mendapati sifat guru yang berkesan untuk membantu meningkatkan pencapaian pelajar ialah guru yang bertanggungjawab, komitmen tinggi, kuat ugama dan mempunyai matlamat yang jelas. Selain itu guru yang suka membantu dan prihatin terhadap pelajar, menyayangi pelajar, mudah dijumpai, memberi peluang pelajar bertanya, kreatif dalam pengajarannya dengan menggunakan pelbagai strategi dan kaedah pengajaran juga banyak membantu pelajar untuk meningkatkan pencapaian mereka dalam peperiksaan.