THE LEGEND OF PANGLIMA JAIS

Panglima Jais berasal daripada keturunan Kesultanan Melayu Brunei.Pada zaman kehidupannya pusat pemerintahan sultan-sultan Brunei terletak di kawasan Kampong Ayer.Namun tanah jajahannya terbahagi kepada laut dan darat. Kawasan laut dikuasai oleh ‘Orang Laut’ manakala di kawasan tanah kering dikuasai oleh ‘Orang Darat’. ‘Orang Darat’ diberi gelaran ‘Orang Kaya’. Mereka juga dikenali sebagai ‘Orang Melabau’.

Menurut Pusat Sejarah Negara Brunei Darussalam Panglima Jais adalah daripada kalangan ‘Orang Darat’. Perkara ini dapat dibuktikan melalui batu-batu nisan yang didapati di Perkuburan Bukit Luba.Batu-batu nisan ini telah wujud sejak KM XVII Masihi.

Kawasan kediaman ‘Orang Darat’ meliputi 150 ekar bermula dari Kampung Tungkadeh hingga ke Kampung Berakas. Penempatan ‘Orang Darat’ bermula dari Kampung Tungkadeh,kemudian di kawasan Tapak Kuda dan lain-lain kawasan yang berhampiran.

Menurut orang tua-tua ‘Orang Darat’ mempunyai hubungan keluarga yang rapat dengan orang Istana iaitu Pengiran Muda Besar Abdullah @ Abdul Kahar ibnu Sultan Abdul Jalilul Akbar ibnu Sultan Muhammad Hasan, melalui putera sulung baginda iaitu Pengiran Anak Jamaluddin. Oleh sebab-sebab tertentu Pengiran Anak Jamaluddin berpindah ke darat dan membuang gelaran Pengiran Anak lalu ditukar kepada Paduka Abdul Jamaluddin. Penggunaan Paduka di pangkal namanya terus digunakan oleh anak cucunya. Beliau berpindah ke darat bersama isterinya dan empat orang anaknya iaitu Nayan, Timah, Nasruddin dan Tuah lalu menetap di Kampong Tungkadeh tempat saudaranya Orang Kaya Besar Imas.

Daripada sinilah bermulanya cerita Panglima Jais. Panglima Jais adalah anak kepada Nayan.Panglima Jais terkenal dengan kuat agama dan seorang pendekar yang gagah berani.Beliau berusaha menghalau penjajah-penjajah Inggeris dari bumi Brunei.
Untuk merealisasikan tujuannya itu Panglima Jais menjelajah seluruh Pulau Borneo. Beliau berguru dan mendalami ilmu dalam berbagai bidang termasuklah ilmu persilatan, kebatinan dan ilmu agama. Antara ilmu silat yang paling hebat yang pernah dipelajarinya ialah ‘Silat Sipadih’. Syarat bagi memiliki ilmu silat ini sungguh merbahaya kerana hanya seorang sahaja boleh memiliki ilmu persilatan ini. Dengan kata lain beliau terpaksa menewaskan gurunya dalam satu pertarungan yang sangat dahsyat.
Setelah kembali dari perantauan beliau beramal dan mengasingkan diri di bukit-bukit tinggi. Selepas menguasai berbagai ilmu lahir dan batin beliau dilantik menjadi ketua ‘Orang Darat’.
Di antara ‘Orang Darat’ yang sering berkunjung ke istana ialah Paduka Seri Wahab iaitu anak saudara Panglima Jais.
Pada zaman pemerintahan Sultan Hasim Jalilul Alam Aqamaddin (TM 1885-1906) dan Sultan Muhammad Jamalul Alam II (TM 1906-1924) hubungan Sultan dan kerabat Diraja dengan ‘Orang Darat’ sangat akrab. Hubungan ini masih terjalin sehingga zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin.
Menurut sejarah ‘Orang Darat’, anak-anak Panglima Jais tidak ada yang terkenal seperti beliau kecuali cucunya iaitu Awang Haji Muhammad Salleh yang dilantik menjadi pemimpin ‘Orang Darat’. Beliau mengasaskan sebuah sekolah rendah di kampong Sungai Hancing yang dibina pada tahun 1947.
Menurut sejarah Panglima Jais bersama dengan Paduka Wahab (anak menantu Panglima Jais) pernah berperang dengan orang-orang Inggeris yang hendak menjajah Negara Brunei. Kubu pertahanan mereka ialah di kawasan kg Tungkadeh dan Bukit Saililah. Panglima Jais dan Paduka Wahab mempunyai terlalu banyak pengikut sehingga orang-orang Inggeris mengaku kalah dan melarikan diri ke Pulau Labuan.

KETURUNAN PANGLIMA JAIS

SULTAN MUHAMMAD HASAN

SULTAN ABDUL JALILUL AKBAR

PENGIRAN MUDA BESAR ABDULLAH @ ABDUL KAHAR

PADUKA ABDUL JAMALUDDIN

PADUKA NAYAN

PANGLIMA JAIS